MAJORITI peminat sukan negara bersetuju agar Sukan Olimpik 2021 Tokyo dibatalkan, menurut kaji selidik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) selama dua hari bermula semalam.
Kaji selidik itu bertajuk ‘Berdasarkan situasi Pandemik Covid-19 yang semakin menular, wajarkah Sukan Olimpik 2021 Tokyo Dibatalkan?’
Ia menyaksikan sebahagian besar peminat sukan tanah air mengutamakan soal keselamatan atlet, lebih-lebih lagi ketika tuan rumah, Jepun dan dunia amnya sedang berjuang melawan virus tersebut daripada terus merebak.
Dalam undian setakat jam 5 petang hari ini, sejumlah 87 peratus bersetuju ia dibatalkan manakala 13 peratus lagi tidak bersetuju.
Presiden SAM, Norismadi Abd Manap menjelaskan, usaha SAM itu bertujuan untuk meninjau pendapat peminat sukan negara berkaitan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo dalam keadaan pandemik Covid-19 semakin mengganas.
“Ini usaha kecil SAM yang hanya mahu melihat keprihatinan peminat sukan tanah air, namun keputusan untuk meneruskan atau tidak di tangan Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) dan Jepun selaku tuan rumah.
“Berdasarkan undian yang telah dilakukan, ternyata sebahagian besar peminat sukan berpendapat Sukan Olimpik kali ini wajar dibatalkan berikutan situasi pandemik Covid-19 di negara matahari terbit itu ketika ini,” jelas Norismadi menerusi kenyataan.
Sukan Olimpik Tokyo yang dijadual berlangsung pada Julai 2020, ditunda ke 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 gara-gara penularan pandemik Covid-19.
Setakat ini, meskipun Jepun berada dalam situasi bimbang dengan penularan gelombang ketiga Covid-19 di seluruh dunia, namun kata putus sama ada temasya sukan tersebut diteruskan atau sebaliknya, terletak di tangan IOC.
Sekiranya IOC kekal dengan pendirian untuk meneruskannya, negara-negara anggota tidak boleh menarik diri sewenang-wenangnya tanpa alasan kukuh.
Malaysia pernah menarik diri daripada Sukan Olimpik1980 Moscow sebagai membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. – Malaysiapost

