KERAJAAN perlu mempertimbangkan pembinaan hospital khusus untuk kecemasan nasional bagi meningkatkan keupayaan sistem kesihatan negara ketika melawan pandemik Covid-19.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata jumlah ruang rawatan rapi perlu digandakan dengan pantas.
Menurutnya, kaedah ‘field ICU’ atau Unit Rawatan Rapi (ICU) lapangan bukan solusi jangka masa panjang.
“Pembinaan hospital khusus untuk kecemasan nasional wajar dipertimbangkan. Bina dengan segera dan sepantasnya. Gemblingkan keupayaan syarikat pembinaan terbaik negara untuk tugas patriotik ini.
“Belajarlah dari China. Sebaik pandemik ini dikesan, perkara pertama mereka lakukan ialah membina hospital dengan pantas,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mohamad Hassan berkata, jika pembinaan hospital kecemasan nasional dirasakan sukar, maka kerajaan boleh menggunakan kaedah ‘nasionalisasi’ beberapa hospital swasta atau apa jua fasiliti yang boleh dijadikan hospital milikan kerajaan dengan pantas.
Tambah beliau, penggandaan keperluan sumber kesihatan boleh dilakukan dengan ‘meminjam’ kepakaran dan tenaga daripada pelbagai klinik swasta ketika negara dilanda kecemasan akibat jangkitan Covid-19 yang tinggi.
Katanya, beliau menyokong usaha baik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuka penyertaan sukarelawan namun ia mesti dipertingkatkan.
“Manfaatkan lambakan graduan perubatan yang belum mendapat penempatan. Sukarelawan tanpa latar belakang kesihatan pula boleh melakukan pelbagai kerja pentadbiran dan lapangan.
“Keletihan tenaga hadapan kesihatan adalah nyata. Justeru, pengambilan pakar yang telah bersara, pakar ekspat serta kakitangan terlatih dari negara seperti Filipina mesti segera di pertimbangkan jika sumber dalaman adalah terhad.
“Kita sangat terhutang budi dengan seluruh fraterniti kesihatan. Justeru segera lebarkan segala keperluan kesihatan nasional kerana pandemik Corona ini tidak akan berlalu dengan mudah. Yang pasti, perang melawan wabak ini akan panjang dan kompleks,” ujarnya. – Malaysiapost

