POSTER mengandungi berita palsu yang mendakwa kes positif Covid-19 harian di Malaysia mencecah 10,290 hari ini, tular di media sosial.
Difahamkan, gambar poster tersebut tersebar di beberapa platform media sosial termasuk di aplikasi WhatsApp, sebelum Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mengumumkan jumlah kes harian rasmi sekitar jam 2 petang tadi.
Terdahulu, Dr Noor Hisham mengesahkan Malaysia mencatat 6,999 kes harian Covid-19 hari ini, menurun berbanding 9,020 kes yang direkodkan semalam.
Sebelum itu, tanda pagar ‘Road to 10k’ menjadi popular di Twitter kerana segelintir pengguna menggunakannya bagi meluahkan ketidakpuasan atau memerli sesetengah pihak yang didakwa gagal menangani penularan Covid-19.
Manakala, ada yang menggunakan tanda pagar bagi meluahkan kegusaran mereka susulan peningkatan kes yang mendadak hingga dijangka mencecah 10,000 dalam masa terdekat. -Malaysiapost

