Total lockdown bukan perintah berkurung – Takiyuddin

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

PENUTUPAN penuh atau ‘total lockdown’ yang dilaksanakan kerajaan mulai 1 hingga 14 Jun ini di seluruh negara bukan perintah berkurung.

Menjelaskan mengenainya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ia sebaliknya adalah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 yang kian meningkat.

“Perlu difahami ‘penutupan penuh’ yang dilaksana kerajaan bukanlah ‘perintah berkurung’.

“Ia hanya kawalan pergerakan dan kegiatan kita selaras prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi.

Sehubungan itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu meminta rakyat supaya jangan panik.

“Teruskan hidup dalam kebiasaan baharu, demi nyawa kita, keluarga dan semua,” katanya lagi.

Kelmarin Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenar beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu yang disenaraikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut PMO, sekiranya lockdown Fasa Pertama berjaya mengurangkan kes harian, kerajaan akan melaksanakan lockdown Fasa Kedua, iaitu pembukaan beberapa sektor ekonomi tidak libatkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal.

Lockdown Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

Setelah berakhirnya lockdown Fasa Kedua, langkah seterusnya ialah Fasa Ketiga, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berkuat kuasa pada masa ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here