“BUKAN sesuatu yang aib atau memalukan apabila anda disahkan positif Covid-19,” kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, individu yang dijangkiti seharusnya bertanggunjawab untuk memaklumkan perkara itu supaya usaha mengesan kontak rapat dapat dilakukan.
“Adalah wajar dan amat bertanggungjawab untuk membuat hebahan segera supaya sesiapa sahaja yang pernah berurusan rapat dengan kita dalam tempoh beberapa hari sebelum itu dapat buat saringan atau ujian swab yang serupa,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Beliau berkata, indidvidu yang menyembunyikan jangkitan Covid-19 bersikap pentingkan diri sehingga menyebabkan nyawa orang lain turut terancam.
“Kelmarin seorang teman memaklumkan dia positif setelah menjalani ujian Swab. Katanya itupun setelah dia dapat tahu sepupunya yang datang berkunjung berhari raya secara senyap-senyap mengasingkan diri setelah didapati positif.
“Rentetan daripada itu beberapa buah rumah saudara mara yang dikunjugi terus buat ujian swab dan hampir setiap rumah ada beberapa yang positif. Lebih menyedihkan dua orang berada dalam keadaan kritikal,” katanya.
Justeru, Asyraf mengingatkan orang ramai khusunya pesakit Covid-19 supaya bersikap jujur untuk memastikan penularan wabak dapat dikawal.
“Ingatlah, jangan pentingkan diri sendiri. Kalau sedar diri sudah positif, uar-uarkan segera agat tidak berterusan memudaratkan lebih ramai lagi.
“Ingat pesan Nabi Muhammad S.A.W. dalam satu hadis sahih: ‘Jangan melakukan kemudaratan dan jangan juga membiarkan diri dimudaratkan’, ” katanya.
Semalam merupakan detik hitam bagi negara apabila mencatatkan 98 kes kematian harian Covid-19, yang tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kematian 2,650, sebanyak 471 kematian berlaku pada 2020, manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/29/98-kematian-detik-hitam-buat-negara-dr-noor-hisham/

