PEMIMPIN Pakatan Harapan (PH) membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung kelulusan terhadap pesawat milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini.
Antara yang bersuara berhubung perkara itu ialah bekas Menteri Pengangkutan ketika era kerajaan PH, Anthony Loke.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya malam tadi, Loke berkata jika perkara itu berlaku ketika pentadbiran PH, tentu heboh diperkatakan di seluruh negara.
“Bayangkanlah kalau kejadian ini berlaku semasa PH memerintah dan saya masih memegang jawatan Menteri Pengangkutan, tentu heboh satu Malaysia kan?
“Tak dengar pula suara-suara lantang sekarang,” katanya.
Semalam Kementerian Pengangkutan mengarahkan pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara baru-baru ini, mendapat kelulusan daripada penerbangan Malaysia.
Pesawat awam itu disahkan melalui ruang udara negara mengikut peraturan-peraturan ditetapkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang mana Malaysia adalah sebahagian daripada negara anggota.
“Sebagaimana peraturan-peraturan ICAO, Malaysia meluluskan mana-mana penerbangan melalui ruang udara selagi tidak mengancam keselamatan serta kedaulatan negara.
“Kementerian Pengangkutan mengambil maklum berhubung pesawat dengan nombor pendaftaran milik syarikat Israel yang melalui ruang udara negara berlepas dari Malé, Republik Maldives dan menuju ke Paya Lebar, Singapura pada 19 Mei lalu pada jam 2.55 pagi.
“Ditegaskan bahawa kelulusan penerbangan yang diberikan kepada pesawat Boeing 737-400 milik syarikat Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) ini tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia,” katanya kementerian itu.
Sementara itu, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pula berkata tidak pelik apabila kerajaan membenarkan pesawat Israel melintasi ruang udara Malaysia, kerana pemimpin negara sekarang semakin rapat dengan negara Arab yang mengiktiraf Israel seperti Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutunya.
“Keduanya dipercayai menjadi pelobi kepada negara-negara Islam supaya menormalisasikan hubungan dengan Israel.
“Inilah akibatnya apabila Malaysia di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin yang tidak lagi mengamalkan dasar berkecuali sebagaimana diasaskan Allahyarham Tun Razak dan diperhebatkan lagi di zaman Tun Dr Mahathir.
“Di bawah pemerintahan yang ditadbir bersama oleh PAS pada hari ini, Israel dibenarkan menggunakan ruang udara Malaysia,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan

