Penggunaan katil ICU pesakit Covid-19 membimbangkan – KKM

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah menambah kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pesakit Covid-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik ini menular.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes Covid-19 yang dimasukkan ke ICU termasuk yang disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan, telah mencecah hampir 1,200 kes.

Beliau berkata, kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit Covid-19, sekali gus menyebabkan peluang pesakit bukan Covid-19 menerima rawatan rapi lebih tipis.

“Keadaan ini sememangnya amat membimbangkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit bukan Covid-19,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh tiga minggu bulan ini sebanyak 439 katil tambahan disediakan di ICU khusus untuk pesakit Covid-19.

“Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 (disahkan, dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan) buat masa ini mencapai 1,114 katil.

“Walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit Covid-19 telah ditambah, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100 peratus. Ini menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes baru harian yang mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.

“KKM akan terus mengenalpasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi (repurpose) sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan.

“Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya.

“Namun, sumber tenaga manusia merupakan antara cabaran utama dan ramai anggota kita telah pun dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit Covid-19.

Sehubungan itu, beliau terus mengingati orang ramai supaya kekal duduk di rumah.

“Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita,” katanya.

Semalam, Malaysia sekali lagi mencatat peningkatan kes harian Covid-19 dengan 9,020 kes direkodkan hari ini, tertinggi sejak pandemik itu melanda negara.

Pertambahan kes berkenaan sekali gus menjadikan kes kumulatif Covid-19 di Malaysia kini adalah 558,534 kes. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/29/makin-parah-9020-kes-direkodkan-hari-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here