Beberapa lokaliti di 5 negeri dikenakan PKPD

0
2
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

BEBERAPA lokaliti lagi di lima negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes baharu positif Covid-19.

PKPD dilaksanakan di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Sabah bermula 30 Mei hingga 12 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD yang dilaksanakan di Terengganu membabitkan 21 mukim dalam daerah Kuala Terengganu iaitu Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepong, Gelugur Kedai, Kuala Ibai, Atas Tol, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau Pulau dan Gelugur Raja.

Menurutnya, pelaksanaan itu dibuat berikutan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan kes yang amat ketara sepanjang Mei iaitu 349 kes atau 370 peratus bagi tempoh dua minggu di semua lokaliti terbabit.

“Selain itu, sebanyak 46 kes positif Covid-19 direkodkan hasil saringan bergejala dan ia dikesan hampir semua mukim dalam daerah Kuala Terengganu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 21 mukim seperti dinyatakan, berkuat kuasa 30 Mei sehingga 12 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, di Pahang pula PKPD dilaksanakan FELDA Jengka 24, Jerantut selepas KKM merekodkan 10 kes jangkitan susulan ujian saringan dilakukan terhadap 56 penduduk di lokaliti itu.

“Turut dikenakan PKPD adalah Kampung Baru Melayu di Bentong selepas KKM mengesan 25 kes direkodkan dalam tempoh singkat, hasil daripada 52 ujian saringan dengan kadar positiviti 48 peratus,” katanya.

Beliau berkata, PKPD juga akan dilaksanakan di Taman Sinar Harapan Tampoi, Johor Bahru di Johor berikutan kadar positiviti yang tinggi iaitu 76.15 peratus di kawasan itu.

“Sebanyak 99 kes positif dikesan hasil daripada 130 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

“Di Selangor, PKPD juga dilaksanakan selepas KKM melaporkan situasi semasa kes Covid-19 di Taman Pertama dan Taman Serendah di Sabak Bernam selepas berlaku peningkatan ketara kes positif di lokaliti ini dalam tempoh singkat apabila sebanyak 113 kes direkodkan hasil daripada 1,237 ujian saringan,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tiga lokaliti di Tawau, Sabah membabitkan Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih dikenakan PKPD selepas KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes yang amat ketara dalam masa singkat.

Menurutnya, KKM merekodkan lapan kes positif Covid-19 di Kampung Pasir Putih Blok B daripada 16 individu disaring, di PPR Taman Sri Balung 18 kes positif daripada 23 ujian saringan, manakala 11 didapati positif hasil saringan terhadap 30 individu di Kampung Baru Pasir Putih.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar terhadap penduduk terbabit dan memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan PKPD.

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti diumumkan sebelum ini dan maklumat lanjut boleh diakses di laman web MKN di www.mkn.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here