Peningkatan kluster tempat kerja membimbangkan

0
3

TREND kluster di tempat kerja menunjukkan peningkatan kebelakangan ini dan ia dilihat semakin membimbangkan.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), bermula 1 April sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja dilaporkan dengan 17,087 kes dicatatkan.

Kata KKM, daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja masih aktif melibatkan 16,785 kes.

“Tiga negeri yang melaporkan jumlah kluster tempat kerja tertinggi dalam tempoh ini iaitu Selangor dengan 74 kluster (25.78 peratus), diikuti Johor dengan 53 kluster (18.47 peratus) dan Pulau Pinang dengan 31 kluster (10.80 peratus).

“Analisa terperinci sub-kategori tempat kerja pula mendapati sektor pengilangan melaporkan bilangan kluster tertinggi
berbanding sub-kategori lain, iaitu 132 kluster (46 peratus) dalam tempoh sama.

“Ini diikuti dengan sektor perkhidmatan yang melaporkan 57 kluster (20 peratus),” katanya.

Menurut KKM, walaupun kerajaan telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei lalu, namun trend kluster di tempat kerja masih tidak menunjukkan penurunan ketara.

“Sebanyak 115 kluster tempat kerja dengan 5,392 kes dilaporkan antara 12 hingga 26 Mei di mana lebih separuh daripada jumlah tersebut melibatkan sektor pengilangan (62 kluster, 53.4 peratus).

“Oleh itu, KKM menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan SOP baharu dikenali Safe@Work bagi mengimbangi kelangsungan operasi perkilangan dengan pengawalan Covid-19.

“Ia termasuk penubuhan pasukan kecemasan
Covid-19 oleh pihak syarikat, sanitasi berkala premis, dan memastikan penginapan selesa bagi pekerja,” katanya.

Pada masa sama KKM menasihatkan majikan supaya memastikan pematuhan SOP di tempat kerja seperti penyediaan tempat mencuci tangan atau ‘hand sanitizer’, pekerja mengenakan pelitup muka setiap masa dan mengelak berkumpul di ruang sempit.

“Selain itu, mereka perlu memainkan peranan proaktif memastikan langkah pencegahan penularan Covid-19 diambil dan diikuti pekerja di tempat penginapan seperti memastikan katil atau tempat tidur disusun mengikut penjarakan sekurang-kurangya satu hingga dua meter, selain mengelak pekerja makan beramai-ramai di ruang makan.

“Majikan perlu memastikan kebersihan tempat penginapan termasuk tandas dan persekitaran sentiasa dijaga dengan kerap menjalankan sanitasi dan pembersihan.

“Pekerja pula diingatkan sentiasa mematuhi SOP ditetapkan di tempat kerja untuk keselamatan diri seperti memakai pelitup muka, tidak bersembang dekat, menjaga kebersihan tempat makan dan memantau gejala, serta memaklumkan kepada majikan dengan segera sekiranya bergejala,” katanya.

Justeru, KKM berharap kerjasama semua pihak bagi memastikan tempat kerja dan penginapan pekerja berada dalam keadaan kondusif dan selamat untuk digunakan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here