SEMUA acara sempena sambutan ulang tahun hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong tahun ini ditangguhkan kerana pandemik Covid-19 yang semakin kritikal.
Menurut kenyataan rasmi Istana Negara, penangguhan itu mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum, serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelak krisis kesihatan lebih buruk.
“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan wabak Covid-19.
“Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak,” catat kenyataan itu, hari ini.
Ini kali kedua semua acara sambutan ulang tahun keputeraan Agong ditangguhkan.
Bagaimanapun menurut kenyataan Istana Negara, tarikh 7 Jun 2021 tetap diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum. – Malaysiapost

