BANGUNAN Majlis Perbandaran Kajang (MPkj) ditutup mulai hari ini hingga 30 Mei bagi tujuan sanitasi, susulan terdapat kes positif Covid-19 di pusat pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Difahamkan, kakitangan MPKj yang dikenalpasti menjadi kontak rapat pesakit yang disahkan positif Covid-19 turut diarah menjalani kuarantin di rumah.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof kepada Malaysiapost.
Edry Faizal berkata beliau telah dimaklumkan mengenai penutupan premis MPKj oleh Timbalan Yang Dipertuanya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Sebelum ini, MPKj menerusi makluman di Facebooknya memberitahu penutupan bangunan MPKj pada 27 dan 28 Mei 2021.
Ia susulan beberapa kakitangan PBT itu disahkan positif Covid-19.
Terdahulu terdapat laporan MPKj terus mengarahkan kakitangan hadir ke pejabat seperti biasa di sebalik peningkatan kes.
Untuk rekod, Kajang yang berada dalam zon merah sejak enam bulan lalu mencatatkan 846 kes yang masih aktif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 14,319 kes. – Malaysiapost

