Hina pakaian tradisi Iban: TRADA gesa SKMM ambil tindakan tegas

0
2
{"uid":"3F5F2710-B87A-4FF5-86BA-45E10FB6FDE2_1622114434784","source":"other","origin":"unknown"}

Nurul Huda Abhar 

PERTUBUHAN Informasi Dayak (TRADA) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun Facebook DurianKimchi yang menghina serta mempersenda pakaian tradisi kaum Iban, Ngepan Iban. 

Presidennya, Joseph Ninting Janting berkata, tindakan setimpal perlu diambil ke atas pemilik akaun tersebut, Ryzal Ibrahim memandangkan kenyataannya itu mampu mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. 

“Ini bukan kali pertama artis tempatan, influencer, menghina masyarakat Dayak secara terang-terangan di media sosial dengan sesuka hati mengatakan masyarakat Dayak khususnya bangsa Iban masih tinggal di atas pokok. 

“Jika hal ini tidak dibendung dan tiada tindakan dikenakan kepada individu terlibat, masyarakat akan menganggap bahawa gurauan seperti itu adalah satu kebiasaan seterusnya mampu mengugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Joseph berkata, permohonan maaf oleh Ryzal di media sosial ia juga langsung tidak menunjukkan kekesalan dengan apa yang berlaku. 

“Dia langsung tidak menunjukkan kekesalan dengan apa yang berlaku dan nampaknya dia tidak tahu langsung tentang budaya masyarakat majmuk yang ada di Malaysia,” katanya. 

Terdahulu pemilik akaun Facebook DurianKimchi diselar netizen selepas memuat naik hantaran video yang dikatakan menghina dan mempersendakan pakaian tradisi kaum Iban, baru-baru ini. 

Video berdurasi 41 saat yang tular di laman Twitter, sebelum itu telah dimuat naik di Instagramnya, ryzalibrahim di bahagian Insta Story. 

Menerusi rakaman tersebut, Ryzal atau nama sebenar Nik Muhammad Ryzal Ibrahim mempersenda busana tradisi tersebut dengan melabel beberapa bahagian utama persalinan itu sebagai kain meja, kepingan duit syiling, alas televisyen, dan kain buruk. 

Ketika video itu dirakam, isterinya seorang wanita warga Korea Selatan, Maryam You Narae, sedang mengenakan busana tradisi itu ketika ditatarias. 

Berikutan itu, Ryzal dikecam pengguna Twitter yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan sengaja mahu meraih populariti segera. 

“Jadi Ryzal ingat dia kelakar sebab menghina budaya orang lain, dan fikir boleh dilepaskan selepas buat permohonan maaf. Sangat memalukan. Sedangkan isteri dia tak selesa dengan tindakan itu.” 

“Saya rasa ini sangat sensitif untuk seorang yang terkenal untuk buat lawak tentang baju tradisi kaum Iban. Tak kelakar langsung. Ryzal kau fikir kau siapa? 

Beberapa akaun Twitter bagaimanapun memuji sikap Maryam yang bertindak mempertahankan dan mengagumi busana tradisi itu, dengan memberitahu ianya adalah hasil buatan tangan walaupun dia bukan berasal dari Malaysia. 

“Sangat setuju. Maryam masih pertahankan pakaian itu dengan ‘handmade’ bila laki dia syok cerca. Itu tunjuk dia matang dan dihormati.’ 

“Paling kelakar bila isteri dia yang orang Korea hargai kita bunya budaya daripada orang Malaysia sendiri. Ryzal banyak buat lawak termasuk persendakan isteri sendiri.” 

Susulan menerima kecaman hebat, Ryzal tampil dengan permohonan maaf di Instagram dan menyatakan kesal kerana gurauannya yang telah melampaui batas. 

“Saya mohon maaf atas gurauan tidak cerdik berkenaan pakaian tradisional Iban tadi. Saya kesal dengan gurauan tidak menghormati budaya itu. Saya minta maaf,” tulis Ryzal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here