Masalah tempahan slot AstraZeneca buat KJ ‘sakit jantung’

0
1

PEMBERIAN vaksin AstraZeneca tidak lagi akan dilaksanakan secara sukarela, sebaliknya kembali menggunakan sistem utama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), susulan keadaan ‘huru-hara’ ketika proses pendaftaran secara atas talian vaksin berkenaan semalam. 

Menteri sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, memohon maaf kepada semua yang berdepan masalah ketika membuat pendaftaran tempahan vaksin AstraZeneca semalam. 

Beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, masalah itu berlaku disebabkan kelemahan sistem berkenaan dan ia tidak akan digunakan lagi, sebaliknya janji temu akan ditetapkan menerusi aplikasi MySejahtera selepas ini. 

“Kalau kita melihat kepada keputusan kaedah ‘opt-in’ atau sukarela ini, ia dibuat apabila ada keengganan dalam kalangan masyarakat untuk menerima vaksin AstraZeneca kerana beberapa berita mengaitkan vaksin ini dengan kes pembekuan darah. 

“Bagaimanapun selepas melihat sambutan memberangsangkan dalam kaedah sukarela ini kita melihat tahap keengganan terhadap vaksin AstraZeneca ini terhakis dan tidak lagi meragui vaksin ini. 

“Kita telah membuat keputusan untuk bulan-bulan yang akan datang kita tidak lagi melaksanakan AstraZeneca secara opt-in dan sebaliknya kembali dimasukkan ke dalam senarai vaksin arus perdana PICK,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa PICK secara maya hari ini. 

Beliau menerima segala kritikan dan cemuhan susulan masalah yang dihadapi orang ramai berhubung pendaftaran tempahan vaksin berkenaan kerana faham rakyat inginkan vaksinasi mereka secepat mungkin susulan kes Covid-19 sedang meningkat. 

“Jadi mereka yang tidak dapat AstraZeneca saya mohon maaf, tetapi jangan risau kita sedang berusaha untuk percepatkan penghantaran vaksin untuk kita dapat lindungi seramai mungkin penduduk di Malaysia.  

“Kita tidak akan gunakan lagi sistem itu..saya hanya mampu tahan ‘serangan jantung’ untuk beberapa hari sahaja..tidak lagi,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan sedang meneliti satu kemudahan baharu yang mungkin akan diberikan kepada orang ramai di mana mereka akan dapat buat pilihan kepada vaksin yang diterima melalui sistem MySejahtera yang akan dinaik taraf  tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here