Fitri Nizam
SAYA menyesal kerana cuai dan bersikap tidak bertanggungjawab di kala kita diancam pandemik Covid-19, kata Meera Alyanna Mukhriz.
Mengakui bahawa dia adalah anak kepada kenamaan, yang dilaporkan ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, Meera Alyanna atau Ally tampil menjelaskan situasi sebenar.
Katanya, pada malam itu, beliau dan suami serta dua rakan ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI) untuk meraikan ulangtahun kelahiran seorang sahabatnya.
“Ketika di Salute, sekitar jam 1.30 pagi, polis memasuki premis itu dan kami ditahan kerana melanggar peraturan PKPP.
“Kami dikenakan denda RM1,000 seorang dan dibenarkan pulang. Kami suami isteri telah melunaskan denda itu,” katanya menerusi laman Instagram ally.mukhriz, hari ini.
Ally yang juga cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu berkata, dia amat menyesal kerana kecuaiannya telah menyusahkan keluarga dan rakan termasuk rakyat Malaysia.
Ujarnya, benarlah beliau yang bersalah dan patut pun rakyat berasa kecewa, tetapi tidak sebesar kekecewaan dan kekesalan yang dirasainya ketika ini.
“Saya sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik dan menjadi teladan kepada orang lain, namun kini saya sedar ia belum memadai.
“Saya mesti dan akan tingkatkan usaha untuk menjadi lebih baik. Saya harap suatu hari nanti, saya dapat membuktikan kepada anda semua yang saya telah berjaya,” katanya.
Malaysia Post sebelum ini melaporkan, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir melahirkan rasa kecewa dengan sikap anak perempuan dan menantunya yang melanggar PKPP.

