Shahril Hamdan sanggah kenyataan Ku Li

0
2

MENJAWAB kenyataan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menolak kenyataan bahawa Bersatu tidak layak untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Dalam satu ciapan di Twitternya, Shahril berkata kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu agak pelik kerana BN yang turut dianggotai MCA dan MIC turut menyokong muafakat itu.

“Salah satu cabaran kami adalah meyakinkan orang bukan Melayu bahawa MN bukan kelab eksklusif.

“Kami telah mengatakan bahawa di seluruh negara.Malah Piagam MN menyebutkan hasrat inklusiviti.

“Oleh itu, kita tidak akan melakukan perkara yang jelas bertentangan,” tulis beliau.

Terdahulu Tengku Razaleigh Hamzah menggesa anggota Kabinet Umno keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) susulan keputusan Bersatu menerima bukan Islam sebagai ahli.

Beliau berkata, dengan berlakunya perubahan yang diumumkan oleh Bersatu, wajar ahli-ahli Umno yang menganggotai Kabinet kerajaan sekarang berundur.

Menurutnya, pengumuman Bersatu untuk menerima bukan Melayu menjadi anggota partinya, menyebabkan ia tidak Iagi layak menjadi anggota Pakatan Melayu Islam yang didokong oleh Muafakat Nasional.

Mengulas lanjut, Shahril berkata antara kandungan piagam MN ialah memperkukuhkan kerjasama itu melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

“Kalau parti nak buat keputusan drastik seperti yang dicadangkan, perlu ada sebab dan pertimbangan berlandaskan apa yang baik untuk negara dan parti.

“Sebab dan pertimbangan yang boleh diterima rakyat,” katanya lagi.