PRN Sabah: SAPP sertai PN selepas 12 tahun pembangkang

0
2

SELEPAS 12 tahun bergerak sebagai pembangkang di peringkat negeri dan persekutuan, Parti Maju Sabah (SAPP) hari ini, mengumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN).

SAPP adalah parti tempatan Sabah yang diasaskan bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee pada 1994 dan beliau kekal menerajui parti itu sehingga hari ini.

Selepas ditubuhkan, parti itu diterima menjadi komponen Barisan Nasional (BN), sebelum mengumumkan keluar daripada gabungan berkenaan pada 2008.

Dalam satu kenyataan kepada media, Teck Lee berkata, keputusan menyertai PN dibuat Majlis Tertinggi parti itu selepas mengadakan pertemuan pada 9 Ogos lalu.

Katanya, keputusan itu diambil selepas melihat kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berjaya mengembalikan keharmonian dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbiran Malaysia.

“SAPP percaya PN dapat menyelamatkan Sabah dan Malaysia dari tuntutan Filipina atau Sulu ke atas Sabah.

“Keyakinan ini terbentuk, bahkan sebelum timbulnya masalah politik terbaharu oleh ahli politik Filipina dengan memasukkan peta Sabah dalam pasport negara itu.

“SAPP menyedari kerajaan Persekutuan PN ada dasar yang eksplisit atau jelas untuk memerangi pendatang tanpa izin terutama di Sabah,” katanya.

Beliau berkata, SAPP juga melihat pematuhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dicapai seperti diumumkan Perdana Menteri pada Mac lalu, ketika melancarkan Kabinet Persekutuan yang baharu.

Malah, katanya, Muhyiddin melantik seorang menteri persekutuan dari Sabah yang bertanggungjawab terhadap MA63 dan menyifatkannya sebagai langkah penting serta praktikal untuk Sabah.

“SAPP juga tahu, sebagai kerajaan PN di peringkat persekutuan dan negeri, ia dapat menghidupkan semula ekonomi Sabah untuk kesejahteraan dan kebahagiaan rakyat negeri ini,” katanya.

Menurut Teck Lee, kedudukan SAPP sebagai salah satu parti gabungan PN bermula secara rasmi esok.

Sejajar dengan kedudukan baharu itu, katanya, SAPP akan bekerjasama dengan parti politik lain di bawah kepemimpinan bagi mewujudkan masyarakat yang lebih progresif.

Penyertaan SAPP itu menjadikan PN Sabah kini disertai empat parti iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), selain turut bekerjasama dengan Umno, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk BN Sabah.