Jutaan sudah dibelanjakan, tapi Putrajaya masih belum ada monorel

0
3

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya masih belum mempunyai sistem pengangkutan awam yang teratur dan sempurna.

“Infrastruktur monorel sudah dibina, jambatannya sudah ada, terowong pun ada tapi monorelnya tiada.

“Jutaan wang telah dibelanjakan tapi sistem monorel masih tiada di sana (Putrajaya).

“Kita hendak bincang untuk melihat prospeknya bagaimana,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Laluan Baharu Bas GoKL Parlimen Batu-Merah Manggis di Kuala Lumpur, hari ini.

Putrajaya adalah pusat pentadbiran kerajaan yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri keempat.

Ia menjadi bandar ikonik yang mana reka bentuk bangunannya yang unik menjadi daya tarikan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu tersebut.

“Kalau ada perkara lain berbangkit, kita boleh bincang juga (dengan menteri pengangkutan).

” Tapi (perbincangan) yang khususnya (ialah)
Putrajaya tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang teratur, sistem perkhidmatan bas juga tidak begitu sempurna,” katanya lagi.- Malaysiapost