PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak bimbang dengan ramalan badan penyelidik bahawa calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi akan kalah teruk di PRK DUN Slim, esok.
Sebaliknya, Presiden Interim Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula mempersoalkan adakah kajian itu dibuat secara terperinci atau tidak.
“Saya tak pasti macam mana datang ramalan itu. Adakah mereka membuat kajian terperinci atau tidak? Tapi yang akan membuktikan dakwaan itu betul atau tidak ialah esok.
“Jadi, kenapa kita nak buat andaian yang mungkin berasaskan pada benda yang belum pasti. Biar kita lihat keputusan esok,” katanya dipetik daripada laporan Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dapatan tinjauan Ilham Centre yang menjangka Amir Khusyairi akan kalah teruk.
Menurut badan itu, walaupun Amir Khusyairi lebih menonjol, ia tidak mampu untuk membuat kejutan memandangkan pertimbangan parti mengatasi isu dan calon.
Ilham Centre berkata, Pejuang boleh dianggap berjaya jika mampu mengekalkan undi PH dalam pilihan raya umum lalu, selain memanfaatkan tempoh kempen untuk melancarkan serangan terhadap Bersatu.
Mukhriz bagaimanapun tetap bersikap optimis terhadap hari pengundian esok.
“Kami mengakui BN memang kuat dengan jentera yang lengkap. Tapi tidak mustahil (untuk menang). Peluangnya 50-50.
“Dari pengalaman saya, dah berapa kali bertanding biasanya kita dapat buktikan mereka yang memberi gambaran begitu negatif sebagai salah,” katanya lagi.

