Biar kita telan ubat yang pahit sekarang – Sultan Johor

0
2

“BIAR kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit yang melarat dan berterusan,” demikian titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Baginda bertitah dan menggesa semua lapisan masyarakat untuk bersikap komited kepada saranan ‘self-lockdown’ bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Lebih 7,400 kes hari ini sahaja (26 Mei). Ini amat membimbangkan dan kita perlukan hampir semua pihak duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan. Virus itu tidak bergerak, tetapi disebarkan melalui pergerakan orang ramai.

“Kita bukan hanya perlu berdisiplin untuk tidak keluar rumah, tetapi kita juga perlu ada kesedaran bahawa tindakan kita keluar ke tempat awam mahupun rumah jiran sahaja, akan menyebabkan kita terjangkit atau kita sendiri menjadi pembawa dan menjangkiti orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri, fikirlah juga orang lain!

“Justeru, semua mesti berdisiplin dan komited bagi menghalang kita semua terjerumus ke dalam situasi lebih parah lagi,” titah baginda semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga harus mempertimbangkan ‘lockdown’ penuh jika angka Covid-19 tiada tanda penurunan.

Baginda juga menzahirkan rasa simpatinya kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sejak setahun yang lalu.

Titahnya, baginda amat bersimpati dengan semua petugas barisan hadapan, terutama kakitangan perubatan yang terpaksa menanggung bebanan besar dibawa virus itu.

“Kepenatan dan kegelisahan jelas kelihatan, namun mereka tetap menjalankan tugas sebaik mungkin. Ingat, bukan Covid-19 sahaja penyakit yang perlu mereka tangani.

“Kasihanilah mereka. Kita semua harus bersatu memainkan peranan untuk mengurangkan beban mereka dan putuskan rantaian jangkitan demi kebaikan kita semua,” titah baginda. – Malaysiapost

Foto Kredit: Sultan Johor/FB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here