AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mendakwa tidak menerima jemputan atau apa-apa maklumat berkenaan mesyuarat Menteri Besar Johor bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen negeri itu hari ini.

Mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung secara dalam talian menerusi aplikasi Webex pada jam 10 pagi hari ini.
“Semua Ahli Parlimen dan Adun Johor telah terima maklumat bahawa mesyuarat ini akan diadakan secara virtual di pejabat Daerah masing-masing.
“Saya tidak terima maklumat itu melainkan dari rakan sejawatan saya yang kongsi maklumat ini.
“Saya juga sudah mendaftarkan maklumat melalui surat rakan sejawatan saya namun masih belum terima apa-apa maklumat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Syed Saddiq berkata pagi tadi barulah beliau tahu mesyuarat tersebut bermula hari ini dan difahamkan Pejabat Daerah Muar menggunakan emel lama beliau yang sudah tidak lagi berfungsi.
Pada masa sama, katanya beliau sudah berada di Kuala Lumpur untuk hadir siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berkaitan satu kes berasingan.
“Ini adalah satu hal yang malang kerana saya ada tanggungjawab dan amanah untuk dipikul kepada rakyat Parlimen Muar. Tetapi saya tidak dijemput dan tidak diberitahu tentang mesyuarat bersama YAB Menteri Besar Johor.
“Jika saya tahu lebih awal dari Pejabat Daerah Muar, saya boleh minta sedikit kelapangan waktu dari PDRM untuk ke mesyuarat virtual yang diadakan di setiap pejabat daerah masing-masing,” katanya.
Baru-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Iskandar menitahkan semua Ahli Parlimen dan Adun di Johor mengadakan satu perbincangan khas berhubung Covid-19. – Malaysiapost
Foto Kredit: @syedsaddiq/IG

