AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil polis bagi merakam percakapan berhubung ciapannya di laman Twitter, esok.
Dalam ciapan itu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan kepada Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang tidak memakai pelitup muka pada sidang media baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Syed Saddiq menerusi Facebooknya sebentar tadi.
“Lagi sekali saya dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kali ni berkenaan tweet ini.
“Baru dimaklumkan tadi saya perlu (hadir) ke balai polis esok untuk rakaman percakapan.
“Mohon jangan rampas phone saya lagi. Berani kerana benar!,” katanya dalam hantaran itu.
Syed Saddiq dalam hantaran Twitternya baru-baru ini, mempersoalkan tindakan Tajuddin yang tidak memakai pelitup muka, walaupun telah mengenakan face shield.
“Pakai face shield, tapi tak pakai face mask adalah satu kesalahan. Semua tahu dah.
“Kita tengok sama ada kerajaan akan kenakan hukuman kepada Pengerusi Prasarana atau tidak. Saya rasa kita dah tahu kesudahannya bagaimana,” ciapnya.
Tajuddin dikritik hebat sejak semalam, selepas didakwa tidak serius dan berjenaka semasa sidang media berhubung kemalangan tren LRT Kelana Jaya di Stesen KLCC.
Beliau turut disiasat polis kerana tidak memakai pelitup muka ketika membuat tinjauan di lokasi kejadian dan semasa sidang media.
Lewat petang tadi, khidmat Tajuddin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana ditamatkan serta-merta.
Jurucakap media Kementerian Kewangan mengesahkan perkara itu selepas surat bagi memaklumkan penamatan kontrak Ahli Parlimen Pasir Salak terbabit tular di media sosial. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

