PENYANYI, Misha Omar turut meluahkan rasa tidak puas hati berikutan gagal untuk membuat tempahan temu janji pusingan kedua slot vaksin AstraZeneca, yang dibuka hari ini.
Menurut Misha atau mesra disapa Kak Mitch, dia sukar untuk membuat tempahan temu janji berikutan laman sesawang terbabit meminta untuk membuat pengesahan ‘bukan robot’ banyak kali.
“Sibuk nak suruh Kak Mitch (saya) mengaku banyak kali Kak Mitch bukan robot. Kak Mitch bukan robot,” katanya dalam hantaran Instagram hari ini.
Pelantun ‘Sampai Bila’ itu bersama suaminya juga mengalami masalah seperti yang tular di media sosial hari ini, iaitu tidak boleh memilih butang negeri.
“Perjuangan masih belum selesai. Kami berdua suami isteri masih gagal dapatkan temu janji vaksin. Corat coret nak daftar percubaan dapatkan vaksin hari ini adalah momen apabila ‘page’ untuk itu sangkut dan suruh pilih tempat. Tapi apabila kita klik dia buat tidak tahu. Tekan-tekan, ‘geletek-geletek’ dia reaksi tetap sama. Dia buat tidak tahu macam tiada perasaan.
“Selepas tekan ‘refresh’ isi semua butiran beberapa kali sampai jari kebas tapi tetap ‘geletek’ di tempat yang nak divaksin itu tiada sebarang reaksi. Saya berasakan cakap ‘i love you’ pada suami tahun ini pun tak sebanyak saya mengaku bukan robot di laman web vaksin Covid-19 tadi.
“Geram kita wak. Selepas beberapa ketika lepas ke ‘page’ seterusnya nak pilih tarikh. Tekan semua tarikh ya, tetap dia mainkan perasaan saya. Sejenis tiada perasaan ya. Buat keras cakap tarikh tak ‘available’. Maka proses dari ayat pertama corat coret ini saya ulang sampai Abang Jamil kau pengsan,” katanya lagi.
Menerusi hantaran sama, Misha menasihati rakyat Malaysia supaya tidak berputus asa untuk mendapatkan vaksin.
“Perlumbaan yang sangat sengit. Tidak mengapa niat itu penting. Ingat kita jaga kita. Vaksin untuk lindungi diri sendiri dan menjaga orang sekeliling. Kita cuba lagi lain masa okay? Jangan sedih. Kita berlumba lagi untuk perlumbaan yang akan datang. Jaga diri, jangan keluar rumah,” ujarnya.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan melalui laman Twitter, lebih 300,000 tempahan janji temu vaksin AstraZeneca pusingan kedua telah dibuat, setakat kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi, semakan mendapati sistem tempahan itu ditutup.
Berikutan itu, tular di media sosial netizen menyuarakan masalah yang sama iaitu tidak boleh mengakses laman terbabit dan sukar untuk menekan butang pilihan negeri, menyebabkan slot tempahan sudah penuh. – Malaysiapost

