Sukar akses sistem tempahan AstraZeneca, Muda minta penjelasan KJ

0
1

IKATAN Demokratik Malaysia (Muda) menuntut penjelasan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berhubung isu kesukaran rakyat mengakses sistem pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca yang dibuka, hari ini.

Setiausaha Agungnya, Amir Abd Hadi, berkata orang ramai berdepan masalah teknikal ketika cuba mendaftar dalam sistem tersebut.

Justeru, pihaknya mempertikaikan kos RM70 juta bagi membangunkan sistem laman sesawang yang dianggap bermasalah itu.

“Selepas beberapa kali laman sesawang ini gagal menepati standard, serta gagal memudahkan rakyat mendaftar bagi mendapatkan vaksin, rakyat mula mempersoal beberapa masalah, antaranya adalah ‘cloudflare’ yang percuma.

“Ini menimbulkan banyak tanda tanya kerana kos yang digunakan bagi membangunkan sistem serta laman sesawang ini berjumlah hingga hampir RM70 juta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan perlu mendedahkan pihak yang mendapat kontrak bagi membangunkan laman sesawang tersebut.

Pendaftaran vaksin AstraZeneca dibuka kepada umum untuk kali kedua hari ini dan 300,000 temu janji dilakukan dalam tempoh sekitar 65 minit.

Bagaimanapun, menerusi laporan media, kebanyakan rakyat mengadu gagal memperoleh akses sejak tempahan dibuka mulai jam 12 tengah hari tadi.

Malah, ramai yang memaklumkan selepas berjaya menembusi sistem, kebanyakan slot sudah penuh walaupun ruang tempahan masih bertanda hijau.

Kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi, semakan mendapati sistem tempahan itu ditutup.

Selain itu, pengguna juga menerima mesej ‘error’ daripada cloudfare iaitu perkhidmatan keselamatan laman sesawang. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here