Segerakan vaksin untuk pekerja pembersihan, petugas keselamatan

0
2

PEKERJA pembersihan dan petugas keselamatan adalah petugas barisan hadapan yang mesti menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan segera. 

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kerajaan perlu menilai semula semua golongan yang dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19 tanpa mengira warganegara atau tidak.

“Selain kakitangan perubatan, anggota pasukan penguat kuasa dan guru, mereka (pekerja pembersihan, petugas keselamatan) ini juga antara golongan yang mempertaruhkan nyawa mereka tatkala pandemik ini sedang mengganas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Lip Eng memberikan contoh peranan pekerja pembersihan di hospital yang sentiasa terdedah dengan wabak berkenaan kerana terletak di dalam kawasan berisiko tinggi.

“Sama juga seperti pekerja pembersihan di kawasan bandar, mereka ini sering menguruskan sampah-sampah berbahaya seperti pelitup muka terpakai.

“Bagi para petugas keselamatan pula, mereka bekerja sepanjang masa dan berinteraksi dengan orang ramai di dalam tugas mereka, sekali gus menjadikan mereka individu yang bekerja di dalam sektor berisiko tinggi,” katanya.

Menurutnya, desakan untuk golongan berkenaan dikategorikan sebagai golongan barisan hadapan sudah dibangkitkan sejak awal pandemik lagi namun tidak diendahkan oleh pihak kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here