TUN Dr Siti Hasmah Ali mencadangkan kerajaan mewajibkan vaksinasi kepada setiap individu di negara ini untuk mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri itu turut menyeru orang ramai menyedari bahaya virus Covid-19 yang jangkitan harian semakin kritikal melepasi angka 7,000 hari ini.
“Ada segelintir orang menyampaikan dakyah palsu berkenaan vaksin. Ini semua tidak benar. Kita perlu percaya kepada sains.
“Penyakit ini bukan cerita palsu, sedarlah Covid-19 ini nyata. Ambillah vaksin demi keselamatan kita semua,” katanya dalam temu bual khas bersama Astro Awani, hari ini.
Beliau turut mencadangkan program vaksinasi negara ditambah baik dengan menyediakan perkhidmatan vaksin dari kampung ke kampung.
Bagi individu yang gagal menghadiri janji temu vaksin, beliau menasihatkan mereka memaklumkan pusat pemberian vaksin dengan segera.
“Terdapat juga mereka yang telah daftar, tetapi tidak hadir ke pusat vaksin. Ini sangatlah mengecewakan. Ada laporan mengatakan sehingga 10,000 orang tidak hadir temu janji. Kenapa ini berlaku?” soalnya sambil menasihatkan orang ramai terutama warga emas supaya tidak takut mengambil vaksin.
“Jangan takut divaksin, saya dan suami saya sudah ambil vaksin sebanyak dua dos. Alhamdulillah, tidak ada perkara pelik berlaku,” katanya yang kini berusia 94 tahun.
Dr Siti Hasmah juga berkata, masyarakat memerlukan perlindungan dengan mengambil vaksin dan pada masa sama mengurangkan jumlah jangkitan serta kematian.
“Ini bukan teori konspirasi, ini kebenaran dan hakikat yang perlu diambil pedoman. Kita berada dalam krisis kesihatan, nyawa setiap daripada kita sangat berharga,” ujarnya. – Malaysiapost

