SEORANG imam yang positif Covid-19 mengaku ‘curi-curi’ mendirikan solat berjemaah bersama lebih 10 kariah dalam keadaan rapat dan gelap tanpa membuka lampu.
Kejadian itu berlaku di sebuah surau di Kampung Pauh Lima, Bachok, Kelantan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ramadan lalu.
Selain imam yang juga seorang pesara berusia lingkungan 60-an itu, tiga lagi jemaah lelaki sebaya memberi keterangan dan pengakuan sama.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka disahkan positif Covid-19 dan diambil keterangan pada 19 Mei lalu.
Katanya, siasatan dijalankan selepas laporan polis dibuat berhubung dakwaan mengatakan ada kira-kira 40 jemaah yang bersolat di dalam gelap di kampung itu hingga tercetus penularan Covid-19.
“Mereka dikatakan solat sunat tarawih berjemaah tanpa penjarakan fizikal dalam suasana gelap hampir setiap malam sepanjang Ramadan lalu.
“Keterangan awal daripada empat individu termasuk seorang imam mendapati mereka mengaku solat berjemaah, rapat dan dalam keadaan gelap,” katanya dipetik Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengambil keterangan daripada jemaah yang terdiri penduduk tempatan sekitar Kampung Pauh Lima. – Malaysiapost

