Sek kita cucuklah vaksin, rayu Annuar Musa kepada rakyat Kelantan

0
1

BERITA kegagalan 10,000 orang di Kelantan menghadirkan diri untuk disuntik vaksin Covid-19 telah mencuri perhatian Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa. 

Menerusi satu hantaran video di Facebook, Annuar merayu kepada rakyat Kelantan agar jangan takut untuk mendapatkan vaksin. 

“Ambo dapat baca berita kata kita ni sampai 10,000 hok daftar nak cucuk vaksin Covid-19 ni. Di tempat lain, Kuala Lumpur ni orang dok berebut peluang nak cucuk. 

“Ada setengah tu di Selangor nun sampai sanggup nak bayar tiga ratus, empat ratus nak cucuk, ramai orang telefon kat ambo nak boleh cucuk. 

“Lepas tu ambo dengar di Kelantan dekat 10,000 hok ada jadual dah tak gi cucuk. Ramai orang kita Kelantan tak gi ikut jadual cucuk tu. Guano jadi gitu sek kita?,” katanya dalam loghat Kelantan. 

Sambil mengingatkan kesan Covid-19 kepada masyarakat, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyeru rakyat Kelantan tidak percaya dan termakan dengan dakyah palsu berkaitan vaksin Covid-19.

“Ada masalah was-was ke, takut ke, mungkin ada puasa, setengah tu ada masalah takde kereta nak gi, jadi ambo rasa adik kakak, Covid-19 bahaya. Tak boleh seloroh. 

“Mati tu kerja tuhan, tapi ikhtiar lawan penyakit tu mesti. Jadi kerajaan di negara kita ni bagi free cucuk. Kerajaan tanggung segala-galanya.

“Jadi ambo rasa ambo nak ambil peluanglah tuk ajak puak-puak kita, sek kita di Kelantan, la ni pun kes banyak tu, orang Ketereh lebih-lebih lagi lah ambo nasihat untuk jangka panjang, cucuklah, biar semua orang ada vaksin,” katanya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin sehingga semalam. 

Antara puncanya ialah masalah kesihatan selain menunda tarikh suntikan dan ada yang gagal hadir kerana mempunyai masalah peribadi termasuk tidak memberi alasan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here