PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu sedia menggunakan lambang dacing Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurut Hadi, PAS terbuka dengan sebarang keputusan yang dicapai rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) sekiranya mereka memutuskan untuk menggunakan logo BN.
“PAS tiada masalah guna simbol BN. PAS boleh guna simbol BN di Sabah.
“Kalau keputusan menggunakan simbol masing-masing, (kita) guna simbol masing-masing kerana saya difahamkan ada parti di Sabah yang nak guna simbolnya sendiri. Terpulang, kita tak ada masalah.
“Kita nak guna simbol masing-masing pun boleh, kita terbuka. Nak guna simbol PN pun boleh, belum ada tapi sudah ada cadangan,” katanya dalam sidang media di Rusila, Terengganu hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, ia bukan kali pertama parti itu menggunakan lambang lain kerana PAS pernah berbuat demikian pada 1974, ketika masih berada dalam BN.
Beliau menjelaskan, PAS mempunyai pengalaman dan pernah bertanding di Sabah namun berapa kerusi akan ditandingi bergantung hasil perbincangan antara parti-parti yang berkenaan. – MalaysiaPost

