Senator pembangkang tak mahu Rais Yatim dilantik Presiden Dewan Negara

0
2

Nilam Oshman

ENAM senator mewakili enam parti pembangkang menolak cadangan pelantikan Tan Sri Dr Rais Yatim dilantik sebagai Presiden Dewan Negara.

Mereka ialah Yusmadi Yusoff (PKR), Aiman Athirah Al Jundi (Amanah), Datuk Wira Marzuki Yahya (Pejuang), Liew Chin Tong (DAP), Datuk Theodore Douglas Lind (Warisan) dan   Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO).

Mereka berpendapat Rais bukanlah individu yang sesuai untuk memegang peranan tersebut.

“Dewan Negara adalah fitrahnya sebuah dewan yang harmoni dan kurang berbalah, justeru ia memerlukan seorang presiden yang mampu memupuk konsensus dalam kalangan anggotanya.

“Kami menyeru kerajaan untuk berunding dengan semua parti politik yang diwakili dalam Dewan Negara berkenaan kedudukan presiden seterusnya agar dapat melantik seorang yang boleh diterima semua pihak,” kata mereka menerusi kenyataan.

Laporan media sebelum ini menyebut kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah mencalonkan Rais untuk jawatan tersebut.

Pada 16 Jun lalu, Rais yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, antara lima individu yang mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara. – MalaysiaPost