PRK Slim: Gabungan Umno-PAS diterima, Bersatu terpinggir

0
2

Muhammad Afiq

CALON Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dijangka mendapat undi penyokong PAS dalam pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim esok.

Ilham Centre berkata, pola sokongan PAS  yang memberi undi kepada calon BN ini bermula di PRK Cameron Highlands sehinggalah kini.

“Undi asas PAS secara puratanya mempunyai sekitar 22 peratus akan diterjemahkan dalam pilihan raya ini dengan mengundi calon BN.

“Dapatan ini lahir berdasarkan penyataan responden  dalam kalangan pengundi PAS atas semangat kerjasama politik dua parti tersebut.

“Andaian mengatakan akan wujud ahli Pas yang tidak berpuas hati kerjasama PAS-Umno dan melakukan undi protes ternyata tidak berlaku,” menurut kajian dikeluarkan Ilham Centre.

PRK Dun Slim merupakan pilihan raya kecil ke-12 pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). PRK Slim ini adalah pilihan raya kecil kedua selepas PRK Chini pasca pertukaran kerajaan melalui ‘Langkah Sheraton’.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 23,094 pengundi awam dan  pengundi awal serta pengundi pos layak membuang undi mereka dalam pilihan raya kecil ini.

Kawasan pilihan raya ini termasuk dalam kategori kerusi majoriti pengundi etnik Melayu berkomposisi sebanyak 75 peratus.

Pengundi etnik India pula adalah 13 peratus, pengundi etnik  Cina 10 peratus dan baki 2 peratus di kalangan Orang Asal. Sebanyak 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada di dalam kawasan ini.

Gabungan Muafakat Nasional Umno, PAS diterima

“Antara tumpuan utama kajian ini juga ingin mengukur sejauhmanakah gabungan politik diterima bagi pengundi Slim.

“Dapatan kajian menunjukkan gabungan Muafakat Nasional melibatkan gabungan Umno-PAS diterima baik oleh pengundi Melayu,” kata laporan itu lagi.

Jelas laporan itu lagi, responden yang menyokong Muafakat Nasional tidak melihat parti Bersatu sebagai parti yang melengkapkan gabungan dua kuasa parti Melayu itu.

Sementara itu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula memanfaatkan kesinambungan fenomena “Malu Apa Bossku” dalam PRK Dun Slim.

“Berasaskan pemerhatian kami, Najib meluangkan dan berkempen lebih intensif dan agresif di Slim berbanding siri pilihan raya kecil sebelum ini.

“Keputusan mahkamah mendapati beliau bersalah menjadi pemicu kempen beliau di sini,” jelas laporan itu. – Malaysiapost