Zuraida dakwa Guan Eng luluskan 2 projek ‘direct nego’ KPKT

0
2

Fitri Nizam

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mendakwa dua projek ‘direct nego’ yang didakwa dilakukan kementeriannya sebenarnya diluluskan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu dan mendapati dua projek rundingan terus itu adalah projek sisa pepejal Taman Beringin bernilai RM170.3 juta dan projek sistem perakaunan perisian Century bernilai RM501.2 ribu.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, rundingan terus itu sebenarnya dilakukan oleh Guan Eng dan ia bertentangan dengan dakwaan bahawa ia dimulai oleh kementeriannya.

“Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghafar yang juga penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) bertemu Menteri Kewangan ketika itu pada 26 November 2018.

“Pada pertemuan itu, Guan Eng bukan saja membincangkan rundingan semula projek ini tetapi bersetuju untuk mengurangkan yuran kos 10 peratus daripada kos asal kononnya untuk menjimatkan wang kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida berkata, Guan Eng kemudian menasihatkan Bumi Segar Indah untuk membentang cadangan rasmi kepada KPKT.

“Projek itu kemudian diluluskan oleh Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng melalui surat bertarikh 20 Februari 2019 kepada Ketua Setiausaha KPKT,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa Zuraida mendakwa bahawa dua projek rundingan terus yang didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di luar pengetahuannya – Malaysiapost