Polis kena belajar terima jenaka – Kit Siang

0
2

PIHAK polis perlu belajar daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk tidak bertindak terlalu keras dalam menangani isu dibangkitkan rakyat terutama netizen membabitkan pandemik Covid-19.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, berkata ia termasuk isu gurauan warganet mengenai Nilai 3 berada di Selangor yang tular di media sosial.

Menurutnya, Muhyiddin semalam dalam satu wawancara khas mengatakan rakyat boleh marah ‘Perdana Menteri bodoh’ dalam mengendalikan wabak Covid-19, dan beliau tidak kisah mengenai perkara itu.

“Namun, bolehkan rakyat marah kepada “kebodohan” pihak polis apabila mereka bertindak secara ‘bodoh’ ? Perkara ini tidak kelihatan seperti dibenarkan dalam isu ‘Nilai 3 di Selangor’, yang menyebabkan polis membuka siasatan.

“Tidakkah polis mempunyai perkara yang lebih serius untuk dilakukan, seperti menyiasat punca kematian A Ganapathy dan S Sivabalan?

“Jenaka ini muncul selepas selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami beliau, Muhammad Haris Mohd Ismail, tidak didakwa walaupun selepas melalukan perjalanan merentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3 sedangkan sekatan pergerakan merentas negeri sedang berkuatkuasa kerana wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis dalam satu kenyataan, mengatakan yang mereka sedang menyiasat pemilik laman Facebook yang bernama N9 Radar kerana membuat jenaka tersebut di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana boleh menyebabkan kegentaran awam.

“Seksyen 505(b) memperuntukkan hukuman penjara selama dua tahun, atau denda, atau keduanya sekali ke atas sesiapa yang membuat kenyataan yang menyebabkan kerisauan atau kegentaran kepada pihak awam.

“Seksyen 233 pula adalah berkenaan penyalahgunaan fasiliti rangkaian dan memperuntukkan hukuman sehingga setahun penjara, denda sehingga RM50,000, atau keduanya sekali.

“Adakah ketenteraman dan keselamatan dalam negara sebegitu rapuh sekali sehinggakan jenaka tidak merbahaya seperti itu dapat menggugatnya?,” soalnya.

Kit Siang berkata, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani perlu memberikan mesej jelas kepada pasukan polis supaya belajar daripada Perdana Menteri.

“… dan menumpukan perhatian kepada jenayah dan pelanggaran undang-undang, bukannya bersikap keras tanpa mengira tempat sehingga tidak dapat menerima jenaka. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/23/nilai-3-jadi-wilayah-selangor-gurau-netizen-di-media-sosial/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here