KERAJAAN terpaksa membuat keputusan yang tidak popular dalam usaha memerangi Covid-19 bagi mengimbangi diantara kepentingan ‘lives versus livelihood’.
Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata kerajaan hari ini telah menggunakan pelbagai cara serta kaedah yang fleksibel, dinamik dan ‘adapt’ dengan cabaran memerangi Covid-19 yang tidak pernah dihadapi negara sebelum ini.
“Kerajaan tak fokus memerangi Covid-19? Tipu. Mustahil. Apa yang berlaku ialah kerajaan terpaksa membuat keputusan yang tidak popular bagi mengimbangi diantara kepentingan ‘lives versus livelihood’,” katanya dalam hantaran Facebook.
Beliau berkata, bagi memastikan pergerakan dapat dikurangkan, 80 peratus kakitangan kerajaan akan bekerja dari rumah yang melibatkan seramai hampir 750,000 orang.
Selain itu, katanya, sektor swasta juga dikehendaki mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus sementara 4o peratus lagi akan bekerja dari rumah melibatkan hampir 6.1 juta pekerja dalam sektor ini.
“Berdasarkan kepada data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)serta saranan daripada KKM sendiri, saya rayu kepada semua rakyat Malaysia khususnya anak muda di seluruh negara untuk mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Kendiri atau ‘self-lockdown’.
“Jangan keluar rumah sekiranya tidak ada keperluan dan jika tidak perlu berkerja. Rancang urusan-urusan kita di luar rumah secara teratur dan minimumkan pergerakan,” katanya.
Beliau berkata, virus tidak akan merebak jika manusia tidak melakukan pergerakan dan apa yang penting adalah terus mengamalkan normal baharu seperti memakai pelitup muka, penjarakkan sosial satu meter dan patuhi SOP.
“Saya percaya, perjuangan melawan Covid-19 bukan hanya perjuangan KKM semata-mata tetapi ianya mestilah diharungi secara bersama dengan penuh rasa tanggungjawab.
“Berikutan daripada saranan Ketua Pengarah Kesihatan juga, Pemuda PAS dan Pemuda PN telah melancarkan kempen ‘self-lockdown’ di seluruh negara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen ini menyeru kepada rakyat dan anak muda untuk ‘self-lockdown’ di rumah melainkan ada keperluan atau kepentingan tertentu untuk keluar daripada rumah.
“Tanamkan dalam diri kita semua bahawasanya hari ini, ‘We are the frontliners,” katanya. – Malaysiapost

