ARAB Saudi memaklumkan kerajaan negara itu belum memutuskan jumlah jemaah luar yang dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 ditetapkan.
Menteri Hal Ehwal Agama, Noorul Haq Qadri dalam kenyataan menerusi video semalam, berkata Kerajaan Arab Saudi sudah membuat cadangan berhubung perkara itu namun sebarang ketetapan belum diputuskan.
Katanya, beliau juga sudah berhubung dengan Menteri Haji dan Umrah mengenai perkara itu.
“Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah membuat cadangan, tetapi keputusan belum diambil.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan perkara ini kepada orang ramai. Setakat ini, belum ada keputusan mengenai jumlah jemaah dan SOP Covid-19, “katanya memetik portal berita Dawn.com
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Arab Saudi didakwa membenarkan 60,000 jemaah dari seluruh dunia termasuk Pakistan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Perkara itu didedahkan oleh wakil khas kepada Perdana Menteri berhubung Keharmonian Agama Pakistan, Maulana Thair Ashrafi dalam satu temubual bersama stesen televisyen SAMAA TV pada malam Sabtu.
Menurut Maulana, kerajaan Pakistan dalam perbincangan dengan pegawai Arab Saudi berkaitan bilangan jemaah Pakistan yang dibenarkan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
“Individu di bawah 18 tahun dan yang berumur 60 tahun ke atas tidak layak untuk menunaikan haji pada tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan membenarkan individu yang menerima vaksin keluaran China untuk memasuki negara tersebut. – Malaysiapost

