Jabatan perhutanan periksa lori bawa balak bersaiz luar biasa

0
2

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa balak bersaiz luar biasa selepas gambar kenderaan berat itu tular di media sosial semalam.

Gambar balak bersaiz luar biasa itu ditularkan oleh bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad di Facebook yang mendakwa menerimanya daripada individu yang merakam gambar terbabit di kawasan rehat dan rawat (R&R) Temerloh arah Barat, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada jam 5.50 petang semalam.

JABATAN Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertindak menahan dan memeriksa sebuah lori yang membawa balak bersaiz luar biasa

JPNP dalam satu kenyataan malam tadi, memaklumkan lori yang dilaporkan telah ditahan di R&R Gombak arah Barat dan pemeriksaan mendapati, lori balak tersebut membawa muatan kayu balak sepertimana ditularkan dalam media sosial.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati, maklumat lori dan kayu yang dibawa bersamaan dengan yang dinyatakan dalam pas pemindah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu. Difahamkan bahawa, muatan ini akan dihantar ke sebuah kilang di Selangor.

Pas pemindah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu

“Pejabat ini amat menghargai aduan yang dibuat namun berharap, agar ia disalurkan secara terus ke mana-mana jabatan/agensi kerajaan bersesuaian termasuk JPNP agar tindakan lebih pantas dapat diambil,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPNP, jabatan berkenaan sentiasa peka dan bertanggungjawab terhadap semua aduan yang dilaporkan bagi memastikan agar tindakan tegas dan segera diambil demi menjaga memelihara khazanah hutan negeri.

Sementara itu, Khaidir dalam satu lagi hantarannya di Facebook mengucapkan terima kasih kepada JPNP atas penjelasan diberikan berhubung kemusykilan mengenai kayu balak terbabit yang dikhuatiri dibawa keluar dari hutan simpan di Pahang secara haram.

“Terima kasih di atas penjelasan JPNP yang profesional dan tidak emisional,” katanya.

Terdahulu, Khaidir menyatakan kemusykilannya berhubung kayu balak saiz luar biasa yang mencurigakan dirakam dibawa dengan sebuah lori di R&R Temerloh arah Barat.

Menurutnya, dia tidak pasti pokok balak spesis apa tetapi dengan melihat gambar dihantar kepadanya itu menunjukkan seperti kayu Chengal.

Dia mempersoalkan bagaimana pokok balak bersaiz sangat besar itu yang kebiasaannya hanya ada di kawasan hutan simpan yang dilindungi sepenuhnya boleh ditebang dan dibawa keluar dari hutan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here