ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera (PKAT) sedia digerakkan ke kawasan kritikal bagi membantu membendung gelombang ketiga pandemik Covid19.
ATM menerusi kenyataan memaklumkan ia tertakluk kepada kemampuan sedia ada setelah penilaian rapi dilaksanakan berdasarkan keperluan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurut kenyataan itu, setiap keperluan di lapangan akan dinilai secara teliti kerana ATM perlu mempunyai simpanan untuk kegunaan kecemasan bagi memastikan aset perubatan mencukupi dalam menyokong operasi apabila diperlukan.
“ATM sentiasa bersiap sedia membantu agensi awam dan bekerjasama dengan agensi berkaitan di seluruh negara sebagai salah satu daripada pelaksanaan tugas-tugas sekunder atau dalam konsep Military Operation Other Than War (MOOTW).
“Usaha ini juga sebahagian dari implimentasi Pelan Strategik Kementerian Pertahanan iaitu Pengukuhan Kerjasama Awam -Tentera (Civil Military Cooperation – CIMIC) demi Pertahanan Menyeluruh (HANRUH),” katanya.
Menurut ATM lagi, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini, ATM komited secara aktif bukan sahaja dalam aspek kawalan keselamatan sempadan menerusi Op Benteng dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Malah ketumbukan itu terlibat secara aktif di dalam memberikan bantuan kesihatan melalui PKAT.
“PKAT telah membantu KKM di dalam aspek preventif dengan melaksanakan ujian saringan di zon merah serta di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk negara.
“Ia turut membantu dalam perancangan, pembinaan dan pengoperasian Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Makeshift Treatment Centre di Pokok Sena, Kedah, Hospital Medan ATM Tawau dan Hospital Medan ATM Kapit, Sarawak.
Terkini, katanya, ATM mengaturgerak ICU Medan ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang yang mampu menempatkan 24 pesakit kritikal COVID-19.
“Sistem ICU Medan ini merupakan sistem Hybrid yang menggunakan kombinasi Modul Kontena dan Kompleks Khemah Utilis dan akan dilengkapi peralatan perubatan yang diperlukan. Konsep Pengoperasian Multi-Agensi akan diguna pakai bagi operasi ini.
“Aturgerak anggota dan aset serta kerja-kerja pemasangan telah dikoordinasikan oleh pasukan Batalion Kedua Perubatan (2 Bn Ubat) berpangkalan di Kluang, Johor serta bantuan dari Kompeni B, 2 Bn Ubat yang berpangkalan di Sungai Petani.
“Kerja pemasangan ini telah bermula pada 18 Mei dengan bantuan khidmat nasihat teknikal daripada Cawangan Kesihatan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div),” katanya.
Menurut ATM, fasa awal ICU Medan itu dijangka menerima pesakit Covid-19 pada 25 Mei 2021.
Panglima Briged Ke-6 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Khairul Anuar Abd Aziz diletakkan sebagai Pemerintah Operasi dan Leftenan Kolonel (Dr) Zamri Derahman, Pegawai Memerintah 2 Batalion Ubat adalah Komander yang dipertanggungjawab dalam aspek pengurusan dan pengoperasian ICU medan berkenaan.
Terdahulu hari ini, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi mengadakan lawatan teknikal melihat pengoperasian dan kesiagaan ICU Medan ATM di Hospital Kepala Batas.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. – Malaysiapost

