ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mampu membina dua lagi Hospital Medan atau Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan jika diperlukan bagi menampung peningkatan pesakit Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini sudah ada tiga kemudahan itu yang diwujudkan iaitu di Kapit, Sarawak, di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan di Pulau Pinang.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata, ATM mampu mewujudkan dua lagi hospital berkenaan dalam masa terdekat, malah banyak lagi jika mendapat tambahan dari segi tenaga kerja dan peralatan.
“Kita mampu mewujudkan dua lagi, bagaimanapun saya sebut sebelum ini, kita juga boleh tambah lebih banyak lagi namun dengan syarat mendapat tambahan dari segi tenaga kerja iaitu doktor dan pakar lain.
“Sebanyak 30 doktor serta 100 paramedik diperlukan dan kita boleh tambah lagi kemudahan ini selain pelbagai peralatan lain,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd hari ini.
Menurutnya, jika mendapat tambahan keperluan itu daripada pihak kerajaan maka ATM boleh mewujudkan lebih banyak lagi Hospital Medan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata ATM hanya menunggu maklum balas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagi memulakan operasi ICU Medan di Hospital Kepala Batas (HKB), Pulau Pinang.
“Hari ini Tan Sri Dr Noor Hisham melawat ICU Medan di HKB dan selepas mendapat maklumbalas daripada beliau, jika segalanya baik kita akan mulakan operasi ICU Medan terbabit,” katanya. – Malaysiapost

