DATUK Seri Najib Razak tidak menafikan sikap tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) antara sebab kes Covid-19 terus meningkat.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Pekan itu berkata sesiapa pun boleh membuat kesilapan seperti beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terlupa mengimbas MySejahtera dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak memakai pelitup muka semasa berjalan-jalan di lobi hotel.
Namun kata, adalah tidak adil untuk kerajaan hanya menyalahkan rakyat tidak ikut SOP sebagai punca utama kes Covid-19 naik.
“Perlu ingat bahawa ramai menteri dan timbalan menteri pun pernah dijangkiti Covid-19. Boleh kita simpulkan ini ialah kerana mereka juga tak ikut SOP?
“Dan adakah rakyat juga perlu disalahkan sebab varian-varian baru menular dalam Malaysia sedangkan rakyat biasa tak dibenarkan keluar sempadan negara pun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Najib berkata, semalam dilaporkan bahawa 64,046 kanak-kanak bawah umur 12 tahun di Malaysia dijangkiti Covid-19 setakat 18 Mei lalu, kebanyakannya selepas sekolah dibuka semula pada tahun ini.
Katanya, ia bukan angka yang kecil memandangkan jumlah kes Covid-19 sekarang mencecah 500,000.
“Berapakah ramai lagi orang tua di rumah yang dijangkiti (daripada) 64,000 kanak-kanak ini?
“Patutkah kerajaan salahkan juga kanak-kanak bawah umur 12 sebab tidak mengikut SOP akibat sekolah dibuka semula oleh kerajaan pada ketika kes baru tinggi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berkata jangan hanya menyalahkan rakyat ketika kerajaan diberi kuasa penuh darurat dengan kuasa penuh untuk berbelanja.
“Jika masih gagal dan keadaan Covid menjadi berkali ganda lebih serius selepas lebih empat bulan kuasa penuh Darurat, maka pikullah tanggung jawab bagi kegagalan ini dan bantulah rakyat untuk menghadapi PKP 3.0,” katanya. – Malaysiapost

