KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menegaskan satu audio berdurasi 2 minit 48 saat yang tular di media sosial, mendakwa 40 jururawat meninggal dunia adalah tidak benar sama sekali.
KKM menegaskan, kenyataan individu menerusi audio terbabit yang mendakwa vaksin Covid-19 adalah racun turut disifatkan sebagai tidak berasas.
Sehubungan itu, KKM menasihatkan agar masyarakat membimbing mereka yang berada di bawah jagaan keluarga agar tidak membuat, berkongsi dan mempercayai maklumat yang tidak benar sebegini.
“Adalah menjadi satu kesalahan dari segi undang-undang membuat kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegelisahan awam.
“Oleh itu, sebelum ia berlaku adalah lebih baik kita mencegahnya dengan nasihat menasihati antara satu sama lain,” kata kenyataan itu hari ini.
Semalam, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas golongan yang menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19.
Ahli parlimen Langkawi itu mengulas rakaman suara tular daripada individu yang menggelarkan dirinya ‘Mak Teh’.
Klip audio itu mendakwa 40 jururawat dan staf hospital di seluruh negara meninggal dunia selepas divaksin dan maklumat itu disembunyikan pihak berkuasa.
Mak Teh bercakap loghat utara dalam rakaman itu turut menyarankan penerima vaksin minum air kelapa (ayaq nyoq) bertujuan membersihkan daripada ‘racun’.
“Ayaq nyoq (air kelapa) nak buat apa? Kalau betul pi (pergi) lah sendiri minum ayaq nyoq.
“Lepas tu cium orang yang sakit Covid-19 ini dan tengok nak jadi apa.
“Bolehkah ayaq nyoq tu bertahan (daripada jangkitan),” kata Dr Mahathir. – Malaysiapost

