ORANG ramai dinasihat agar menjimatkan penggunaan air terutama sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 supaya penggunaan air harian dapat dioptimumkan.
Timbalan Presiden Persatuan Wira Air, Forum Air Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Mohamed Hilmi Che Ramli, berkata peningkatan aktiviti rutin seperti memasak, mencuci dan membersihkan diri di sepanjang tempoh PKP sedikit sebanyak mendorong kepada peningkatan penggunaan air di rumah.
“Kami menyeru agar semua melaksanakan kempen jimat air di rumah masing-masing agar penggunaan air harian dapat dioptimumkan.
“SPAN tetap komited sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan matlamat pembangunan negara berkenaan dengan liputan, pembekalan dan akses kepada perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembentungan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Hilmi berkata, SPAN semalam memaklumkan kakitangan di bahagian terbabit akan beroperasi secara penuh memandangkan perkhidmatan bekalan air dan pembetungan adalah kategori penting.
Menurutnya, ia meliputi operasi di loji, penyelenggaraan rangkaian paip agihan, pengurusan air tidak berhasil (NRW) serta urusan membaca meter atau pengebilan.
Ini bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan tidak terjejas serta diteruskan sepanjang PKP 3.0.
“Selaku pihak yang mewakili pengguna-pengguna air di Malaysia, Forum Air – Wira Air, kami sentiasa komited untuk menjadi penghubung antara SPAN dan rakyat sebagai pengguna.
“Sila hubungi kami melalui emel [email protected], jika terdapat sebarang maklum balas, aduan atau cadangan bagi sistem bekalan air atau pembentungan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata, maklum balas rakyat penting khususnya pada waktu pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi dunia.
Menurutnya, rakyat juga dialu-alukan untuk mengemukakan aduan sekiranya mereka mahukan penjelasan lebih terperinci berkaitan bil air mereka. – Malaysiapost

