Sekatan tambahan bagus, tapi tak cukup – Dr Dzul

0
1

BEKAS Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad setuju dengan dakwaan ‘bot dinaiki sedang tenggelam’ susulan kes harian Covid-19 yang terus mencatatkan peningkatan melebihi 6,000 kes sehari.

Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STFC) itu bagaimanapun berkata dalam situasi itu Majlis Keselamatan Negara (MKN) hanya mampu mengumumkan aspek perketatkan sekatan pergerakan.

“Bagus! (perketat sekatan pergerakan). Tapi tak cukup, lepas dua minggu macam mana?,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Beliau berkongsi ciapan seorang pengguma laman sosial itu yang memaparkan klip video beberapa petugas kesihatan cuba membantu pernafasan seorang pesakit Covid-19 dengan tulisan “Our boat is sinking”.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pelaksanaan sekatan lebih ketat perlu disertai pendekatan cari, uji, jejak, asing dan sokongan (FTTIS) dengan kadar pantas.

Selain itu, beliau berkata penggunaan data, solusi digital dan automasi mesti dipertingkat dalam mendepani norma baharu serta menyegerakan semua gerak kerja.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa sekatan tambahan sektor ekonomi yang akan berkuatkuasa mulai 25 Mei di seluruh Semenanjung dan Labuan dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat.

Antaranya waktu operasi perniagaan PKP 3.0 di gerai makan, kiosk, pandu lalu, penghantaran, kedai runcit, pasar malam, stesen minyak dan kedai dobi hanya dari jam 8 pagi hingga 8 malam sahaja, berbanding sehingga jam 10 malam sebelum ini.

Satu lagi strategi yang dirangka adalah penguatkuasaan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dipertingkatkan yang melibatkan 80% kakitangan kerajaan dan 40% kakitangan swasta.

Penguatkuasaan PKP 3.0 juga akan ditambahbaik dengan mengehadkan jumlah pengunjung ke pasar raya dan premis perniagaan manakala pengangkutan awam pula akan dihadkan kapasiti kepada 50%. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here