Individu gagal janji temu punca PPV Ipoh sesak

0
2

KEADAAN sesak di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh pada Jumaat lalu disebabkan kehadiran 799 individu yang gagal hadir pada hari  janji temu ditetapkan aplikasi MySejahtera.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, merujuk kepada keadaan yang tular di media sosial itu, pihaknya mendapati kesesakan berpunca daripada kehadiran beramai-ramai individu terbabit yang cuba mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu baharu. 

Menurutnya, ia juga susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi daerah Kinta yang turut membabitkan Ipoh, semalam. 

“Jumlah sebenar janji temu melalui MySejahtera bagi tarikh 21 Mei adalah 1,570 orang, namun terdapat 799 hadir tanpa janji temu bersama pengiring masing-masing menyebabkan kesesakan luar biasa sementara pihak pengurusan PPV menyelesaikan pemberian tarikh janji temu baharu.

“Pemberian vaksin di PPV ini bermula 24 Februari lalu dengan purata 1,500 orang sehari dan berjalan lancar serta terkawal. Pihak kami dukacita dengan kejadian kesesakan orang ramai yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi. 

Dr Ding mengingatkan orang ramai supaya hadir mengikut janji temu ditetapkan dan jika gagal, penjadualan semula perlu dilakukan dengan menghubungi Helpdesk MySejahtera.

“Pihak Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) Daerah dan Negeri akan terus mengenal pasti langkah bagi menambah baik keadaan di PPV supaya kejadian sama tidak berulang, selain kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Ding memaklumkan seramai 298 bakal haji dikenal pasti untuk menerima vaksin dan mereka sudah diberi tarikh janji temu dua minggu lebih awal dengan 70 bakal haji diberi suntikan pada sesi petang Jumaat lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here