MEREKA yang jujur dan baik kefahamannya tentang pengurusan negara, tidak mudah membuat telahan simplistik terhadap kerajaan, kata Tan Sri Annuar Musa.
Mrnteri Wilayah Persekutuan itu berkata demikian bagi menjawab dakwaan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung keputusan kerajaan tidak menutup kilang milik tauke besar dan syarikat korporat multi nasional (MNC).
Sebaliknya, Annuar berkata, firma besar adalah tempat di mana ramai rakyat berpendapat rendah bergantung hidup.
“Firma besarlah tempat ramainya orang kecil bergantung hidup. Tauke besarlah penggerak ekonomi untuk orang kecil kongsi kesejahteraan. Isunya bukan besar kecil,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Semalam, Asyraf Wajdi mendakwa persepsi rakyat dalam situasi kes Covid-19 kian meningkat ketika ini adalah kerajaan terlalu ingin menjaga hati para kapitalis yang berorientasi memaksimumkan keuntungan berbanding rakyat marhain.
Dakwanya perkara itu dapat dilihat apabila kilang-kilang milik tauke besar dan syarikat MNC terus dibenar beroperasi sedangkan sektor kecil sebaliknya.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai rakyat kecewa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh atau ‘total lockdown’ tidak dilaksanakan. – Malaysiapost

