PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak lebih setahun lalu nyata memberi kesan kepada semua pihak bukan sahaja negara tetapi rakyat dari segi ekonomi dan emosi.
Wabak pembunuh yang semakin menular itu masih tiada lagi penawarnya menyebabkan masyarakat semakin lesu untuk menghadapi hari mendatang dalam norma baharu yang penuh prosedur operasi standard (SOP).
Di Malaysia antara yang terkesan teruk adalah golongan karyawan yang sukar mencari pendapatan dengan pelbagai kekangan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki kali ketiga selepas kes Covid-19 semakin meningkat.
Bagi komposer dan penyanyi rap terkenal Altimet, keadaan ketika ini ternyata memberi kesan kepada dia serta keluarga dan berharap pihak kerajaan melakukan yang terbaik dalam memerangi wabak berkenaan dan membela nasib rakyat.
“Aku dah penat. Kami dah penat. Setahun lebih kami ikut peraturan. Kehendak peribadi letak tepi, untuk kebaikan semua, jadi negara kita ni pulih balik, kalahkan pandemik ni.
“Aku penat nak bagitau kat anak aku pasal virus ni, musuh yang tak dapat dilihat ni. Aku penat nak jelaskan kat dia kenapa dia tak dapat main dengan saudara dia, kawan-kawan dia.
“Aku kesiankan anak-anak aku sebab perkembangan sosial dan persahabatan mereka terbantut akibat tak pegi sekolah,” luahnya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Altimet, dia juga menanggung kerugian dalam perniagaan namun tidak sanggup untuk menutupnya kerana ramai yang akan hilang mata pencarian.
“Aku dah penat tanggung kerugian bisnes aku. Aku tak sanggup tutup sebab berapa ramai kawan-kawan aku kena lepaskan jadi penganggur.
“Aku dah penat beli barang niagaan kawan-kawan industri hiburan, yang terpaksa berniaga sebab takde job.
“Aku harap, orang atasan tahu yang aku ni kepenatan. Aku harap orang atasan tahu, bukan aku sorang yang kepenatan, tapi kami tetap ikut saranan dan SOP yang ditetapkan. Walaupun kami penat. #KitaJagaKita kan? Bismillah,” katanya. – Malaysiapost

