Awang Abdullah
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sabah bermula esok.
Ia lawatan pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), akhir Februari lalu.
Muhyiddin dijadual menghadiri tujuh program, masing-masing enam di ibu negeri dan satu di Sandakan pada Ahad.
Setibanya di Kota Kinabalu esok, beliau yang juga Presiden Bersatu dijadual mendengar taklimat Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh kepimpinan Bersatu Sabah.
Taklimat tertutup di pejabat Bersatu Sabah di Alam Mesra, Kota Kinabalu itu dijangka disampaikan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Hajiji Noor bermula jam 11.15 pagi.
Perdana Menteri selepas itu dijadual hadir program Perjumpaan Bersama Penjawat Awam Persekutuan negeri di Pusat Persidangan Antarabangsa Sabah (SICC), Tanjung Lipat, jam 12 tengah hari.
Sebelah petang, beliau dijadual hadir perhimpunan bersama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Muhyiddin turut dijadual menghadiri Majlis Sepetang Bersama Perdana Menteri di SICC pada jam 5.15 petang, disusuli perjumpaan bersama Pimpinan Masyarakat Negeri Sabah di lokasi sama jam 7.45 malam.
Pada pagi Ahad, Muhyiddin dijadual hadir perjumpaan bersama penjawat awam di Dewan Angsana, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah.
Beliau kemudian dijadual berlepas ke Sandakan untuk program Perjumpaan Pimpinan Masyarakat di Dewan Hakka, Sandakan pada jam 1.30 tengah hari.
Kedatangan Perdana Menteri turut dikaitkan dengan beberapa perkembangan semasa, antaranya berkaitan kerjasama parti politik di bawah PN untuk menghadapi PRN, bulan depan. – Malaysiapost

