PRN Sabah: Jangan cabar kedaulatan Sabah – Armada

0
2

ANGKATAN Anak Muda Bersatu Malaysia (Armada) Bersatu memberi amaran kepada kerajaan Filipina supaya tidak berterusan mencabar kedaulatan Sabah dan Malaysia.

Ia susulan cadangan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina yang mahu memasukkan Sabah dalam peta dan pasport negara itu.

Naib Ketua Armada, Ceasar Mandela Malakun, berkata tindakan negara jiran itu seolah-olah mahu menyentuh maruah Sabah yang menjadi sebahagian wilayah berdaulat sejak Perjanjian Penubuhan Malaysia pada 1963 (MA63).

Tegas beliau, cadangan Manila itu tidak harus dianggap sebagai isu kecil kerana ia membabitkan soal kehormatan Malaysia dan kedaulatan Sabah.

“Filipina seperti sengaja mahu melakukan provokasi dalam isu kedaulatan Sabah apabila kerajaan negara itu meluluskan cadangan memasukkan Sabah dalam peta mereka.

“Armada memberi peringatan kepada Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina untuk tidak terus bermain api dalam isu berkenaan kerana kami akan sedia mempertahankan kehormatan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Jelas Mandela, tindakan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar negara jiran itu tidak masuk akal kerana Filipina tidak mempunyai asas dan fakta sejarah bahawa Sabah adalah sebahagian daripada wilayah mereka.

Katanya lagi, jika mengimbau sejarah, sebarang isu tuntutan tertangguh antara Sabah dan Filipina sudah lama selesai apabila semua tuntutan itu memihak kepada Malaysia.

Tegasnya perkara itu juga disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Penubuhan Malaysia pada 1963 dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atau Mahkamah Dunia.

“Pada Oktober 2001, ICJ memutuskan menolak cubaan Filipina untuk campur tangan dalam isu tuntutan Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia serta Indonesia.

“Malah Malaysia menang dalam tuntutan itu pada Disember 2002,” katanya.

Beliau berkata, dalam kes terbaharu tahun ini juga di mahkamah tinggi, Kerajaan Malaysia melawan Nurhima Kiram Fonan & Ors, hakim Datuk Martin Idang memutuskan Sabah adalah sebahagian daripada wilayah Malaysia dan tiada sesiapa berhak atau berkuasa atas hubungan Sabah dengan Malaysia. 

“Segala-galanya sudah termaktub dan Filipina seharusnya menghormati kedaulatan Sabah sebagai sebahagian usaha untuk menjaga hubungan dua hala yang harmoni,” katanya. – Malaysiapost