MESKIPUN perit, namun demi kesihatan anak-anak terhindar daripada jangkitan Covid-19, pasangan suami isteri rela menyerahkannya kepada jiran untuk dijaga sementara waktu.
Lebih meruntunkan hati, kedua-dua anak mereka yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa kelihatan menangis dan enggan ditinggalkan di luar rumah untuk diambil jiran.
Kisah menjentik jiwa ini boleh dilihat di aplikasi Tiktok milik bapa mereka, Mohamad Ramzi Yusof.
Video berdurasi seminit itu mengundang simpati netizen kerana Covid-19 telah merencat kebahagiaan keluarga ini yang terpaksa berpisah sementara.
“Kami dewasa seramai empat orang positif. Tiga anak negatif dan kami terpaksa tinggalkan mereka pada jiran sebelah.
“Dd, Unde, umi dan papa bukan menghalau tapi kami tidak mahu kamu dijangkiti. Kasihan si adik yang berusia 10 bulan kerana terpaksa diletak atas lantai,” katanya menerusi kapsyen video tersebut.
Kelihatan seorang kanak-kanak yang lebih besar memeluk dua bantal kecil sambil adiknya pula tidak berhenti menangis apabila ibu bapa mereka melambai dan mengucapkan selamat tinggal.
“Lepas tutup pintu hanya mampu tengok mereka dari dalam rumah kerana jiran sudah datang untuk mengambil mereka.
“Jiran kami sangat baik mereka cakap mereka tawakal untuk jaga anak-anak. Semoga Allah balas segala kebaikan mereka,” ujarnya.
Video itu menerima tanda disukai lebih 35,000 pengguna dan dibanjiri ribuan komen netizen yang rata-rata memberi kata-kata semangat di samping mendoakan ibu bapa kanak-kanak tersebut cepat sembuh.
“Alahai kesiannya. Syukur ada jiran baik hati, saya ahli keluarga sendiri pun tolak untuk jaga. Patah hati,” komen seorang pengguna TikTok.
“Baik betul hati jiran sanggup ambil risiko walaupun bukan darah daging. Semoga ibu bapa mereka cepat sembuh,” ujar netizen. -, Malaysiapost

