TEMPOH rehat Liga Malaysia (Liga M) hampir dua bulan sehingga 9 Julai ini digunakan oleh Selangor FC untuk melaksanakan proses baik pulih padang di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Bagi saingan Liga Super musim ini, Selangor menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi pasukan susulan isu keselamatan di Stadium Shah Alam.
Bagaimanapun keadaan padang di Stadium MBPJ mendapat kritikan apabila dilihat tidak memuaskan terutama ketika musim hujan.
Lebih memburukkan keadaan apabila padang yang sama digunakan oleh sebuah lagi pasukan Liga Super, PJ City FC dan pasukan Selangor 2 untuk saingan Liga Premier.
Selangor FC menerusi kenyataan di laman web rasminya memaklumkan proses membaik pulih padang Stadium MBPJ kini sedang giat dijalankan.
Pada masa sama, penambahbaikan infrastuktur pusat latihan FAS Training Centre selain proses persiapan dan pembinaan kemudahan baharu juga sedang giat berjalan sepanjang tempoh rehat ini.
“Lebih banyak perkembangan akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang,” menurut Selangor FC.
Sementara itu, laman Facebook Selangor Fans turut berkongsi gambar proses baik pulih padang Stadium MBPJ dengan pemasangan saluran paip bawah tanah bagi melancarkan aliran air. – Malaysiapost

