Jangan ‘kemut’ jaga hak, kepentingan rakyat – Zahid Hamidi

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KERAJAAN digesa mengambil langkah segera menangani penularan Covid-19 yang kian meningkat dan mengancam sistem penjagaan kesihatan negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan itu perlu ditangani segera jangan sampai sistem penjagaan kesihatan negara gagal diurus dengan baik.

Menurutnya, jika keadaan itu berlaku harapan rakyat dan negara untuk bebas segera daripada wabak berkenaan akan musnah.

“Saya berasa amat sedih dengan keadaan petugas barisan hadapan kita di pusat perubatan di seluruh negara.

“Para doktor, jururawat dan semua petugas kesihatan dikatakan dalam kelesuan serta kepenatan.

“Sistem penjagaan kesihatan negara dilaporkan sedang berada dalam tekanan yang luar biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jumlah kemasukan kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Lembah Klang sahaja kini telah meningkat 94 peratus.

“Ini bukan perkara main-main. Ini adalah ‘disaster’. Sistem penjagaan kesihatan perlu dipertingkatkan. Tindakan segera perlu diambil sebelum terlambat dalam keadaan di luar kawalan.

“Fasiliti kesihatan perlu ditambah, bilangan peralatan, katil, ubat-ubatan dan sebagainya,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, jika perlu jumlah kakitangan juga ditambah, selain penyertaan sukarelawan dibuka dan diperluaskan lagi.

“Jangan terlalu ‘kemut’ dalam menjaga hak dan kepentingan rakyat. Tindakan segera perlu diambil walaupun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Total lockdown akan mengambil masa sebelum keadaan pandemik dapat distabilkan dan dalam tempoh itu jika persediaan kesihatan tidak memadai yang menjadi mangsa rakyat marhain.

“Rata-rata rakyat bergantung sepenuhnya kepada kemudahan kesihatan yang kerajaan sediakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here