
TIDAK dapat menunaikan solat Jumaat kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan pandemik Covid-19 tidak dikira berdosa.
Ini kerana menurut Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, ia termasuk dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, sama seperti kebenaran tidak menunaikan solat Jumaat bagi seorang bermusafir dan seumpamanya.
Justeru menurutnya, mewajibkan solat sunat taubat bagi mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP pihak pemerintah bagi mengelak penularan Covid-19 adalah tiada asas.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menyatakan demikian menerusi kenyataan hari ini susulan ucapan seorang pendakwah/penceramah berkaitan solat Jumaat.
Pendakwah itu menyatakan “mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut kerana mematuhi SOP bagi mengelak penularan Covid-19, wajib bertaubat dengan menunaikan solat sunat taubat’ selain menyatakan “norma baharu yang merosakkan akidah’.
Mengulas lanjut, jawatankuasa itu berkata perkataan wajib itu membawa maksud bardosa jka tidak melakukannya.
“Ini membawa maksud beliau menganggap berdosa mereka yang terlibat tidak menunaikan solat taubat sedangkan dalam konteks mentaati ulil amri dalam perkara makrut demi maslahah menjaga nyawa seperti SOP keselamatan / kesihatan adalah wajib dan melanggarnya adalah berdosa
“Perlu diketahui bahawa meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa. Dalam hadis yang mengecam perbuatan meninggalkan solat Jumaat tiga kali dikaitkan dengan kesucian tanpa keuzuran Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali (dalam keadaan) cuai dan tanpa keuzuran Allah akan mengunci mati jantung hatinya (Hadis Riwayat Abu Daud, Sahih).”
Menurut jawatankuasa itu lagi, ungkapan pendakwa tersebut tentang “norma baharu yang merosakkan akidah” itu difahami norma baharu boleh membawa kepada kekufuran atau sekurang-kurangnya kesesetan.
“Hal ini sangat bahaya. Norma baharu ini kebanyakannya membabitkan persoalan fekah atau hukum hakam amalan.
“Untuk mengaitkan dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin bahawa kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as Sunnah telah rosak.
“Jika tidak dakwaan itu mengelirukan dan boleh memberikan kesan tidak baik. Sedangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri-Negeri sentiasa menjadikan al-Quran, Sunnah dan dalil muktabar sebagai panduan sebelum mana-mana garis panduan dikeluarkan kepada masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis berkata adapun nasihat dan teguran pendakwah/penceramah tersebut tentang orang yang tidak bersungguh mencuba mendaftarkan diri untuk hadir solat Jumaat (setelah diizinkan oleh pihak ulil amri) adalah wajar.
Demikian juga katanya, perasaan keinginan untuk dapat menunaikan solat Jumaat sepatutnya ada bagi setiap mukallaf yang tiada uzur syarie.
“Dengan menghormati semangat Islam pendakwah/penceramah tersebut, jawatankuasa ingin menasihati agar berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama,” katanya. – Malaysiapost
